fbpx

Perkenal kit uji Covid-19 guna sampel air liur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Contoh kit uji pengumpulan sampel air liur yang mengandungi alat (sediprep) untuk mengesan Covid-19.

PUTRAJAYA – Ujian saringan Covid-19 secara kendiri menggunakan sampel air liur akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dengan dua syarikat sudah dikenal pasti untuk mengeluarkan kit saringan berkenaan.

Menurutnya, kit ujian itu masih dalam peringkat pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA) dan ketika ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan ujian terhadap dua kit saringan yang dikeluarkan dua syarikat tersebut.

“Sebaik ia didaftarkan, orang ramai boleh mendapatkan kit menggunakan sampel air liur itu di farmasi dengan konsepnya sama seperti kit ujian kehamilan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan kes harian Covid-19 di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, petugas kesihatan juga akan dilatih menggunakan kit saringan itu bagi memastikan kaedah pengambilan sampel air liur dilakukan dengan tepat.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan penilaian lapangan bagi penggunaan kit saringan menggunakan sampel air liur itu serta tujuh hospital telah dipilih untuk penilaian lapangan bagi kaedah tersebut.

Buat masa ini, KKM masih menggunakan kaedah persampelan melalui hidung dan mulut bagi mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam badan pesakit.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sebuah syarikat,  Alif Masyhur Sdn Bhd (Alif Masyhur) dengan kerjasama Fjord Diagnostics Sdn Bhd (Alif-Fjord) muncul syarikat Malaysia pertama memperkenalkan kit saringan Covid-19 menggunakan sampel air liur.

Lebih menarik, kit ujian pengumpulan sampel air liur dikenali Fjord-Saliva itu mengandungi alat dikenali sebagai Sediprep untuk meningkatkan konsentrasi kandungan virus dalam sampel air liur bagi mengesan Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI