CHARLOTTE, CAROLINA UTARA – Seorang wanita di Carolina Utara, Amerika Syarikat yang baru melahirkan anaknya yang ke-16 tidak menolak untuk hamil lagi selepas ini, lapor akhbar Mirror UK hari ini.
Patty Hernandez, 39, berkata, meskipun kehamilannya kali ini sedikit mencabar, namun dia menerima jika itu kehendak Tuhan.
“Saya tidak pernah terfikir untuk mempunyai sebuah keluarga yang besar sehinggalah saya mula mempunyai anak.
“Kemudian, saya berfikir, ini adalah hebat dan kenapa tidak (mempunyai anak yang ramai)? Ini amat menyeronokkan,” ujarnya.
Tambah Hernandez, meskipun terdapat komen-komen nakal di media sosial mengenai keadaannya yang mempunyai ramai anak, Hernandez menganggap keluarga besar yang dikurniakan kepadanya itu sebagai satu rahmat daripada Tuhan.
“Saya tahu terdapat segelintir orang yang tidak bersetuju dengan apa yang saya ada selain terdapat juga pelbagai komen-komen nakal di media sosial, namun bagi kami ini adalah satu rahmat.
Hernandez dan suaminya, Carlos, menamakan kesemua anak mereka dengan nama bermula huruf C bersempena dengan nama lelaki itu.
Pasangan suami isteri yang tidak pernah menggunakan alat cegah kehamilan itu mempunyai tiga pasangan kembar iaitu Carla dan Caitlyn, 10; Calvin dan Catherin, 6 serta Caleb dan Caroline, 3 tahun.
Manakala, anak-anaknya yang lain ialah Christopher, 11; Cristian, 9; Celeste, 8; Cristina, 7; Carol, 4; Camilla, 2, Charlotte, 1; Crystal, 1 dan bayi yang baru dilahirkan, Clayton. – AGENSI