SEREMBAN – Kira-kira 1,000 pasang baju baharu dan terpakai pelbagai saiz tersedia untuk diberikan secara percuma kepada golongan memerlukan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, menerusi Program Muhibah Raya pihaknya menyediakan sebuah pusat pengumpulan pakaian di Taman Bukit Kepayang, di sini bagi meringankan beban mana-mana individu untuk menyambut hari raya.
“Hasrat kami adalah untuk memberi keceriaan kepada mereka bagi menyambut lebaran tidak lama lagi. Program seperti ini dilihat dapat mengurangkan kos, dan lebih 1,000 pakaian baharu dan terpakai yang disediakan di sini boleh mereka pilih dan bawa pulang.
“Selain pakaian, terdapat juga kasut, pinggan mangkuk dan makanan seperti sayur-sayuran turut disediakan di sini. Kami juga mengalukan-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyumbang pakaian serta barangan lain di sini,” katanya kepada pemberita di Taman Bukit Kepayang hari ini.
Pusat pengumpulan pakaian itu telah dibuka sejak semalam sehingga 16 Mei dan ia dikendalikan di bawah Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang.
Sementara itu, Nicole memaklumkan, pihaknya berhasrat melanjutkan program berkenaan sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Program ini baik dan jika mendapat sambutan menggalakkan saya akan meneruskan program seperti ini selepas ini. Saya juga berterima kasih dengan mana-mana pihak yang telah menyumbang barangan untuk program ini.
“Pihak kami mahu menjadikan pusat ini sebagai ‘butik’ dan mereka yang datang seolah-olah sedang membeli-belah untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi,” katanya.
Jelas beliau, mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang boleh menghubungi pegawainya, Sheila di talian 010-5567189 atau datang sendiri ke alamat No. 65, Jalan MPK 3, Taman Bukit Kepayang, Seremban. – K! ONLINE