KOTA KINABALU – Seorang anggota polis lelaki ditemui tergantung di rumahnya dalam kejadian di Taman Pertama, Sandakan pagi semalam.
Mangsa difahamkan sempat bersahur bersama keluarganya sebelum kejadian itu disedari isteri yang menemui suaminya tergantung di ruang tamu rumah mereka sekitar pukul 7.30 pagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, mangsa adalah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 28 tahun dan bertugas sebagai anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di Sandakan.
“Siasatan awal mendapati anggota berkenaan mempunyai rekod kerja yang baik serta tiada masalah dengan rakan sekerja termasuklah pegawai atasan.
“Difahamkan anggota terbabit menyambut hari lahir anaknya yang berusia tiga tahun malam tadi.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca sebenar mangsa menggantung diri,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.
Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – K! ONLINE