fbpx

Bawa pulang rakan beraya bersama di kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Amirol Ridzuan (kanan) dan Mohd. Sufri Syahrifuddin membuat persiapan akhir sebelum bertolak ke kampung di Kemaman, Terengganu pada program penghantaran pulang kumpulan pertama pelajar USIM ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri di USIM, Nilai, Seremban, hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

Oleh MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE

SEREMBAN – Bimbangkan keadaan seorang rakan sekuliahnya yang mempunyai masalah penglihatan beraya seorang diri di kampus, seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut membawa rakannya itu pulang ke kampung halamannya di Kemaman, Terengganu bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.

Mohd. Amirol Ridzuan Aripin, 23, berkata, rakannya iaitu Mohd. Sufri Syahrifuddin, 23, berasal dari Tawau, Sabah dan mempunyai masalah penglihatan disebabkan sakit kencing manis.

“Sedih saya kalau dia tinggal seorang di asrama pada hari raya. Saya bimbang dia jatuh semasa cuba nak uruskan diri.

“Bulan Syawal ini adalah masa untuk kita meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa dan mengeratkan hubungan sesama Islam. Sepatutnya ia disambut bersama keluarga dan rakan-rakan dan itu antara faktor saya buat keputusan bawa Mohd. Sufri pulang ke kampung,” katanya.

Mereka berdua ditemui ketika program penghantaran pulang kumpulan pertama pelajar USIM ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri di USIM, Nilai di sini hari ini.

Tambah Mohd. Amirol, rakannya itu tidak boleh berjalan seorang diri malah pernah terjatuh ke dalam longkang ekoran masalah penglihatan yang dihadapinya.

“Kemana sahaja dia nak pergi kebiasaanya saya akan teman, dulu dia pernah jatuh sehingga tercedera dan kakinya perlu berjahit.

“Apa-apa pun dalam keadaan pandemik ini kita perlu banyakkan sabar, kena rasa bersyukur dapat balik kampung, tidak macam pelajar lain yang tidak dapat balik beraya dan berjauhan pula dengan keluarga,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI