RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 merampas sebanyak 13 ekor lembu seludup bernilai RM91,000 yang dipercayai untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini di pangkalan haram Mek Gombak di sini semalam.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan itu dilakukan oleh anggota PGA ketika menjalankan rutin rondaan di sekitar kawasan itu pada pukul 10.30 malam.
Menurutnya, semasa melakukan rondaan, anggota PGA melihat sekumpulan lelaki sedang mengheret beberapa ekor lembu di kawasan berkenaan.
“Sebelum itu, lembu-lembu tersebut dipercayai dibawa menyeberangi Sungai Golok dari negara jiran ke negara ini dengan menggunakan perahu.
“Anggota PGA telah bertindak mengekori suspek yang mengheret lembu ke dalam hutan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azhari memberitahu, apabila menyedari kehadiran anggota PGA, mereka terus bertempiaran lari meninggalkan lembu-lembu itu.
Katanya, pemeriksaan di kawasan semak telah menjumpai sebanyak 13 ekor lembu yang dipercayai telah diseludup dari negara jiran.
“Anggota PGA telah mencari suspek di sekitar lokasi itu, namun usaha itu gagal apabila mereka hilang tanpa jejak,” katanya.
Tambah Azhari, kes disiasat mengikut Seksyen (11) (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) 2011. – K! ONLINE