PETALING JAYA – Orang ramai diingatkan supaya tidak menggunakan alasan sudah membeli atau menempah tiket kapal terbang semasa memohon permit rentas negeri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ini kerana alasan berkenaan bukan satu alasan kukuh untuk mendapatkan permit rentas negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, berdasarkan statistik pihaknya, sejak 30 April hingga Khamis lalu, sebanyak 583 permohonan rentas negeri melalui pengangkutan udara telah ditolak.
“Permohonan ditolak kerana justifikasi permohonan didapati tidak munasabah dan dokumen perjalanan yang dikemukakan tidak sah atau tidak lengkap.
“Permohonan yang akan diberi kelulusan adalah untuk tujuan menziarahi kematian ahli keluarga terdekat seperti pasangan sendiri, anak, ibu, bapa dan adik-beradik dan kecemasan, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, kebenaran juga akan diberikan kepada pasangan suami isteri jarak jauh, namun kesemua permohonan itu hendaklah mendapatkan kebenaran PDRM melalui permit rentas negeri.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan permit rentas negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tempahan atau pembelian tiket penerbangan.-K! ONLINE