fbpx

78 mainan kanak-kanak tanpa pelekat MC dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahgian daripada mainan kanak-kanak yang dirampas KPDNHEP kerana tidak mempunyai pelekat keselamatan MC.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 78 unit mainan kanak-kanak kerana tidak mempunyai pelekat Malaysian Comformity atau ‘MC’ selepas menyerbu sebuah premis di Seri Kembangan semalam.

Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada KPDNHEP Selangor dan Cawangan Kajang itu dilakukan susulan aduan orang awam berkenaan kegiatan tidak bertanggungjawab peniaga menjual mainan kanak-kanak tanpa pelekat keselamatan MC.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, premis yang diserbu itu terletak di dalam sebuah pusat beli-belah di kawasan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua mainan itu tidak mempunyai pelekat (MC) sekali gus gagal membuat deklarasi bahawa barang itu selamat.

“Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Perakuan Pematuhan Dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan) 2010 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat seorang lelaki warga tempatan di dalam premis berkenaan dan dia mengaku bertanggungjawab ke atas premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zikril berkata, kesemua barangan tersebut kemudiannya dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM4,832.00.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana menawarkan apa-apa barang atau perkhidmatan yang tidak mematuhi standard keselamatan yang ditentukan di bawah Seksyen 19.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Peraturan 4 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu pemilik produk perlu membuat deklarasi bahawa mainan itu mematuhi standard keselamatan dalam bentuk suatu perakuan pematuhan dikeluarkan mengikut cara ditentukan oleh pengawal.

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebih RM100,000,” ujarnya.

Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan mengenai kesalahan berkaitan boleh menghubungi pihaknya di talian 1-800-886-800 atau mesej menerusi WhatsApp ke 019-2794317.

“Maklumat juga boleh disalurkan melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau hubungi talian 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir di mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran untuk tindakan lanjut,”jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI