fbpx

Terbuka Malaysia tunda selepas Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIU YING mempunyai peluang terakhir untuk mencatat sejarah meraih emas pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Jepun, 23 Julai ini.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan kejohanan Terbuka Malaysia yang dijadualkan berlangsung 25 hingga 30 Mei ini ditunda ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Difahamkan, kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 itu mungkin dianjurkan selepas Sukan Olimpik 2020 Tokyo berdasarkan kenyataan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengatakan Terbuka Malaysia tidak akan diadakan dalam tempoh kelayakan Olimpik.

Kata badan induk sukan badminton tanah air itu, pihaknya sudah melakukan yang terbaik bagi memastikan Terbuka Malaysia dijalankan, namun peningkatan mendadak kes Covid-19 menyebabkan usaha itu tergendala.

“BAM sudah bekerja keras sebelum ini bagi memastikan saingan Terbuka Malaysia berjalan seperti biasa pada 25 hingga 30 Mei 2021. Kami sentiasa bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan sepanjang persiapan.

“Kami sudah mengambil pendekatan dengan mematuhi segala prosedur, panduan serta protokol dalam memastikan keselamatan peserta sepanjang kejohanan.

“Bagaimanapun, keadaan semasa serta peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh dunia menyebabkan kami tidak ada pilihan lain dengan me­nunda kejohanan ini,” kata BAM menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah BAM, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan serta mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan BWF.

Sementara itu, pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying mengakui faham dengan keputusan BAM meskipun dia mengharapkan Terbuka Malaysia berjalan seperti biasa.

“Sebagai pemain, sudah tentu saya mahu ia (Terbuka Malaysia) diteruskan sebab tidak ada banyak kejohanan lain sebelum Sukan Olimpik membuka tirai nanti.

“Pada masa sama, saya juga risau dengan situasi semasa di Malaysia. Jika kita tengok keadaan semasa, memang sukar untuk Terbuka Malaysia diteruskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI