PENANG FC perlu memberi perhatian kepada ancaman yang bakal diberikan oleh penyerang import utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya malam ini.
Perkara itu diakui oleh pemain pertahanan utama skuad Harimau Kumbang, Abdul Latiff Suhaimi selepas menyaksikan Bergson berjaya mempamerkan prestasi memukau dengan menjaringkan 10 gol dalam liga musim ini.
Kata Latiff, pasukan Harimau Selatan sememangnya memiliki ramai pemain bertaraf bintang dan barisan pemainnya terutama tonggak di posisi pertahan perlu sentiasa berwaspada dengan setiap ancaman yang boleh diberikan pasukan lawan.
“Kita semua tahu dengan kualiti JDT yang memiliki jentera serangan yang cukup tajam terutama penyerang import mereka, Bergson. Malah, mereka juga turut memiliki pemain muda yang mula mencuri perhatian, Arif Aiman (Hanapi).
“Justeru, saya menyeru agar rakan-rakan sepasukan memberikan fokus penuh agar tidak terjerat dengan ancaman yang boleh diberikan oleh pasukan lawan dalam usaha memburu mata penting.
“Apa yang penting, saya harap tiada kesilapan mudah dilakukan kerana kita perlu berhati-hati dan tidak agresif sehingga boleh menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, pemain berusia 32 tahun itu berharap pasukan dapat menyerap aura penyokong yang hadir dalam memastikan Harimau Kumbang kembali berada di landasan tepat selepas tewas kepada Kuala Lumpur City (KL City) sebelum ini.
“Kami perlu anggap pertemuan kali ini sebagai aksi final kerana tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan peluang pasukan untuk melakar keputusan positif tetap ada.
“Beraksi di hadapan penyokong sendiri juga menjadi motivasi buat kami sebelum saingan liga berehat panjang nanti,” katanya.