TEMERLOH – Hasrat seorang isteri untuk tinggal bersama suaminya, Konstabel Norhalim Tumiran selepas berjauhan selama lapan bulan berkecai selepas lelaki itu maut akibat terkena tembakan di Sibu, Sarawak kelmarin.
Nurfitrah Ramli, 24, berkata, kematian suaminya itu benar-benar mengejutkan lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Saya hampir pengsan apabila menerima berita ini (kematian suami).
“Suami pernah meluahkan hasrat membawa saya dan anak ke Sibu selepas Aidilfitri, nampaknya tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di Felda Bukit Damar di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.20 malam kelmarin, Norhalim yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu meninggal dunia akibat terkena tembakan dalam kejadian di sebuah rumah di Sibu.
Difahamkan, semasa kejadian, rakan mangsa yang juga anggota polis bergurau sambil mengacukan pistol sebelum tertekan picu dan melepaskan tembakan ke arah lelaki itu yang sedang bermain permainan video di ruang tamu.
Nurfitrah berkata, dia dihubungi oleh rakan suaminya pada pukul 9 malam kelmarin selepas lebih 50 kali panggilan telefon dibuat kepada suaminya tidak menjawab.
Norhalim baru dua bulan bertugas di IPD Sibu selepas menamatkan kursus kepolisan di Pusat Latihan Polis Segamat (Pulapol) di Johor.
“Sepanjang tempoh kursus selama enam bulan itu, kami tidak pernah berjumpa disebabkan pandemik Covid-19. Kali terakhir kami bertemu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang di Selangor sebelum suami berlepas ke Sarawak.
“Dalam masa sejam itu kami melepaskan rindu. Dia sempat menatap wajah anak kami yang berusia setahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pada hari kejadian, mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu pergi ke rumah berkenaan untuk berbuka puasa dan bermain permainan komputer bersama rakan-rakannya.
“Polis yang melakukan siasatan menemui mangsa terduduk atas sofa dengan kesan tembakan di telinga kanan.
“Ketika kejadian, terdapat tiga penghuni dalam rumah sewa itu, dua lagi (penghuninya) sedang bekerja,” katanya.
Susulan kejadian itu, tiga anggota polis berpangkat konstabel berusia 21 hingga 27 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin yang menziarahi keluarga mangsa mencadangkan kerajaan supaya menyediakan skim pencen kepada isteri si mati bagi membantu membesarkan anak tunggal pasangan tersebut, Nur Alisya.