fbpx

‘Pelamin anganku’ musnah kerana PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farah Diyana dan suaminya, Muhammad Raziqin kini menunggu kelahiran anak sulung mereka yang dijangka lahir pada Ogos ini.

PETALING JAYA – Hasrat pasangan pengantin untuk melangsungkan majlis resepsi perkahwinan tidak kesampaian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Farah Diyana Fauzi, 27, berkata, dia dan suami, Muhammad Raziqin Mahamad Khariol Nizar, 27, sudah tiga kali terpaksa me­nunda majlis perkahwinan di­sebabkan PKP sejak tahun lalu.

“Saya telah membuat bayaran 70 peratus daripada jumlah keseluruhan RM13,000 untuk dewan, pakej akad nikah, bersanding dan jamuan untuk 300 tetamu dengan majlis dijadualkan berlangsung pada 5 Jun tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Farah Diyana berkata, dia dan suami selamat diijab kabul pada Julai tahun lalu dan slot dewan hanya kosong pada bulan Januari lepas, namun majlis sekali lagi terhalang disebabkan PKP 2.0 dengan persiapan kahwin 90 peratus sudah lengkap.

“Saya sepatutnya dapat menggunakan dewan tersebut bulan depan (Jun) dan sebenarnya sedang hamil tujuh bulan tetapi jika te­rus tangguh mungkin saya akan mengadakan kenduri akikah untuk anak yang bakal lahir kelak,” katanya.

Surya Herny dan Fauzi ketika majlis akad nikah mereka di Kulim 27 Mac lalu.

Sementara itu, Surya Herny Mahdzir, berkata, dia dan suami Fauzi Suib, 55, merancang untuk mengadakan acara tersebut di sebuah lokasi penganjuran maj­lis popular di ibu kota pada 19 Jun ini, namun tarikh tersebut terpaksa dipinda ke satu tempoh yang belum dapat dipastikan.

“Dalam hal ini pihak penganjur majlis perlu membuat penyusunan semula dan memberi laluan kepada pelanggan yang menempah lebih awal mengikut giliran masing-masing.

“Saya menjangka paling awal kami dapat mengadakan majlis tersebut ialah pada Ogos atau paling lewat sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Surya Herny berkata, majlis itu amat bermakna kerana bertujuan meraikan keluarga dan sahabat handai yang tidak berpeluang menghadiri majlis akad nikahnya yang diadakan pada 27 Mac lalu.

Kelmarin Kosmo! melaporkan, kira-kira 1,000 pengusaha majlis perkahwinan dan kate­ring ‘terduduk’ apabila pelanggan membatalkan tempahan majlis perkahwinan, iftar dan rumah terbuka ekoran kerajaan meng­umumkan pelaksanaan PKP di enam daerah di Selangor bermula Khamis lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI