PETALING JAYA – Tanpa berselindung, pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan mendedahkan dia tidak tinggal sebumbung dengan suaminya, Ding Siew Jim sejak berkahwin pada Mac lalu.
Elizabeth atau Lizzy, 28, mengakui, dalam tempoh dua pertama perkahwinan yang digelar fasa bulan madu ketika ini, mereka jarang bertemu sebaliknya hanya berhubung menerusi telefon.
Pelantun lagu Knock Knock itu berkata, dia dan suaminya selesa tinggal di rumah keluarga masing-masing dan merancang untuk mencari kediaman bersesuaian untuk hidup bersama suatu hari nanti.
“Mungkin kedengaran agak pelik, tetapi sepanjang tempoh ini (tinggal berasingan) tiada apa-apa masalah yang timbul.
“Satu atau dua minggu sekali kami berjumpa, ikut kepada keperluan. Hari-hari lain kami (berhubung) telefon sahaja.
“Boleh dikatakan jadual kerja saya sangat padat, tambahan pula terikat dengan penggambaran Gerak Khas untuk 30 episod. Memang susah curi masa, tetapi saya seronok begini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Semua Sudah itu turut mendedahkan dia dan suaminya berkahwin atas permintaan ibu dan sebagai anak, dia hanya menunaikan permintaan tersebut.
Aktres filem Misteri Delaila itu juga berhasrat tidak mahu tinggal berjauhan dengan ibunya. Oleh itu mereka sepakat membuat keputusan untuk tinggal secara berasingan.
“Sebagai anak bongsu, bukan perkara pelik sekiranya saya dan suaminya rapat dengan ibu bapa.
“Keluarga faham. Rumah mentua pun dekat (di Kuala Lumpur). Mungkin kalau sudah ada anak kami akan berpindah ke rumah sendiri. Siapa tahu kan?,” kata selebriti tinggi lampai itu.
Sementara itu, ditanya sama ada keputusan tinggal berasingan itu disebabkan pilihan keluarga, Lizzy hanya tertawa kecil.
Ketika diasak mengenai perasaannya terhadap Siew Jim, Lizzy mengakui dia menyayangi lelaki itu.
“Dia okey, memahami dan menyokong karier seni saya. Jika ditanya sama ada cinta atau sayang, saya memilih sayang,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinan mereka.
Pada Mac lalu, perkahwinan Lizzy bersama Siew Jim yang merupakan ahli perniagaan mengundang kejutan selepas pasangan tersebut berkahwin secara rahsia.
Perkara itu terbongkar selepas bapa Lizzy, David Tan Suen Chew berkongsi momen bahagia anaknya menerusi Facebook.
Lizzy berkata, dia tidak berniat menyembunyikan perkahwinan tersebut, sebaliknya akan mengumumkan statusnya apabila sudah benar-benar bersedia.
Pada majlis perkahwinan tersebut, penyanyi yang juga popular menerusi lagu Police Entry tersebut memakai busana pengantin berwarna putih berdiri di sisi suaminya.
Difahamkan, majlis perkahwinan itu diadakan di sebuah gereja di Gombak, Selangor dan dihadiri seramai 10 orang tetamu, dipercayai ahli keluarga terdekat.