TOKYO – Ketua gergasi tembakau, Philip Morris menyatakan syarikatnya akan menamatkan jualan rokok kovensional di Jepun dalam tempoh 10 tahun lagi dalam satu wawancara bersama akhbar perniagaan Nikkei yang disiarkan hari ini.
Pengeluar rokok Malboro itu pernah mengumumkan pada 2016 tentang matlamat jangka panjang untuk berhenti menjual rokok dan menggantikannya dengan alternatif kurang berbahaya tetapi ini kali pertama Philip Morris mengumumkan tarikh akhir yang jelas.
“Kami mahu Jepun menjadi pasaran pertama untuk fasa penggantian tersebut.
“Syarikat kami akan merealisasikan masyarakat bebas asap rokok di Jepun dalam tempoh 10 tahun lagi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif yang baru dilantik, Jacek Olczak.
Philip Morris sedang mengembangkan alat IQOS. Alat tersebut berfungsi memanaskan tembakau dan mengeluarkan kepulan wap sebagai alternatif kepada rokok.
Kerajaan Jepun menjana pendapatan berbilion-bilion dolar setiap tahun menerusi cukai rokok dan memiliki satu pertiga kepentingan dalam Japan Tobacco iaitu syarikat tembakau ketiga terbesar di dunia.
Rokok secara purata dijual pada harga sekitar 570 yen (RM21.60) sekotak di Jepun dan memaparkan label amaran saiz sederhana. – AFP