SINGAPURA – Gara-gara mempercayai sebatang pokok betik dirasuki roh jahat, seorang lelaki di Singapura dihukum penjara tiga minggu kerana mengancam keselamatan seorang wanita menggunakan pisau pemotong, lapor laman berita Mothership hari ini.
Ang Say Chee, 60, pada Ogos 2019 bertindak menebang bahagian atas sebatang pokok betik milik Majlis Perbandaran Boshan-Toa Payoh kerana mendakwa pokok itu dirasuki roh jahat.
Tindakannya disedari oleh seorang wanita berusia 70 tahun yang terdengar bunyi pokok tumbang berhampiran lokasinya. Ketika kejadian dia sedang memberi makan kepada beberapa ekor kucing.
Say Chee yang menyedari kehadiran wanita tersebut cuba merampas bekas yang mengandungi makanan kucing dari tangan mangsa dan bertindak mengacukan senjata tersebut pada kepala wanita itu.
Menurut Channel News Asia (CNA), Say Chee dikatakan tidak menyukai tindakan wanita itu memberi makanan kepada kucing.
Wanita itu kemudian bertindak menghubungi polis, Say Chee ketika itu duduk di atas sebuah bangku sambil bercakap dengan diri sendiri sebelum melemparkan senjata yang digunakan.
Dia mengaku bersalah atas pertuduhan ugutan jenayah dengan mengacukan senjata berbahaya ke arah wanita tersebut dan dijatuhi hukuman penjara tiga minggu.
Menurut CNA, Say Chee mempunyai beberapa rekod jenayah lampau sejak tahun 1979 termasuk pecah rumah, membawa minuman memabukan ke hospital awam, penghinaan, rogol dan tindakan ganas yang membahayakan keselamatan. – Agensi