KOTA BHARU – Dua kluster baharu jangkitan Covid-19 di Kelantan hari ini iaitu Kluster Jalan Besar Pasir Mas dan Kluster Kampung Kochang tercetus di dalam daerah Pasir Mas.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dalam satu kenyataan berkata, Kluster Jalan Besar Pasir Mas melibatkan pekerja-pekerja sebuah restoran yang terletak di Jalan Besar.
Katanya, sebanyak 29 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu dengan 75 individu telah disaring sehingga hari ini.
“Bagi Kluster Kampung Kochang pula, ia melibatkan komuniti dengan penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Kochang, Bunut Susu.
“Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 6 April lalu melalui hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini, sebanyak 24 kes positif Covid-19 dikesan dalam kluster ini,” katanya.
Susulan daripada itu, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas berkuat kuasa lusa sehingga 22 Mei ini.
Sebanyak 120 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kampung tersebut melibatkan Kampung Paya Ular (42), Kampung Tualang (26) dan Kampung Bechah Palas (52).
Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 297 kes positif Covid-19 hari ini dengan jumlah keseluruhan 16,474 kes. -K! ONLINE