ROM – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memuji aksi penyerangnya, Edinson Cavani selepas menjaringkan dua gol ketika tewas 2-3 kepada AS Roma pada aksi timbal balik separuh akhir Liga Europa di Stadium Olimpico awal pagi semalam.
Walaupun tewas, namun United tetap layak ke perlawanan akhir memandangkan mereka menang 6-2 pada pertemuan pertama, sekali gus mara dengan agregat 8-5.
Solskjaer mengakui kecewa dengan keputusan itu, namun tetap gembira apabila menyaksikan Cavani berjaya menjalankan tanggungjawab merobek pintu gol pasukan tuan rumah.
“Faktor utama kami berjaya sampai ke tahap ini adalah disebabkan kami memiliki seorang penyerang yang berkaliber. Dia (Cavani) menjaringkan empat gol pada aksi separuh akhir ini.
“Dia juga buktikan mengapa kami sangat mengharapkan dia kekal di sini. Saya juga berharap pemain-pemain lain jadikan Cavani sebagai panduan,” kata Solskjaer.
Pada masa sama, pengendali dari Norway itu turut menghamburkan pujian terhadap penjaga gol, David De Gea yang banyak menafikan percubaan jentera serangan Roma.
“Kami banyak hilang bola pada perlawanan ini, namun saya lega kerana kami memiliki penjaga gol terbaik dunia. Dia perlu kekalkan aksi seperti ini jika mahu beraksi di final,” ujarnya. – AGENSI