LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Mohamed Salah mendapat suntikan semangat menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Southampton di Anfield awal pagi esok apabila menerima Anugerah Inspirasi Sukan Laureus.
Anugerah tersebut diberikan kepada mana-mana ahli sukan yang menjadikan status mereka sebagai platform untuk berbakti kepada masyarakat sekeliling.
Pemain antarbangsa Mesir itu berkata, dia gembira dengan anugerah yang diterima selain percaya usahanya membantu golongan tidak berkemampuan selama ini membuka mata banyak pihak.
“Saya sangat gembira dan bangga apabila dipilih untuk menerima Anugerah Inspirasi Sukan Laureus. 2020 adalah tahun yang sukar di mana ramai orang terkesan dengan situasi semasa.
“Saya ingin dedikasikan anugerah ini bukan sahaja kepada peminat-peminat Liverpool tetapi kepada semua peminat sukan di seluruh dunia,” kata Salah yang sudah meledak 20 gol dalam Liga Perdana musim ini.
Sementara itu, pengurus The Reds, Jurgen Klopp percaya Salah layak untuk mendapat anugerah tersebut berdasarkan prestasi di atas padang selain keperibadiannya dalam kalangan masyarakat.
“Apabila anda fikir tentang Mo (Salah), akan terbayang seorang pemain serta penjaring yang hebat. Selain itu, dia juga adalah seorang insan berhati mulia,” ujarnya. – AGENSI