SEJAK akhir-akhir ini, timbul banyak isu berkaitan integriti khususnya dalam kalangan penjawat awam. Ia banyak melibatkan kes pecah amanah, rasuah, penyelewengan
dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan sesetengah individu.
Integriti menurut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud kejujuran, ketelusan, nama baik atau bebas daripada sebarang bentuk penyelewengan.
Keruntuhan integriti tersebut akan menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah. Tidak kira, sama ada dalam organisasi awam mahupun swasta.
Individu yang tidak memiliki integriti akan sentiasa mencari peluang melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi tanpa memikirkan implikasi terhadap imej organisasi dan negara.
Penulis percaya ketiadaan sikap integriti dalam setiap individu bakal meruntuhkan institusi dan mengancam keselamatan negara. Ia termasuk menjadi contoh yang tidak baik kepada generasi akan datang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini berkata, tiga fokus utama untuk memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah sebuah pasukan polis yang menjaga keamanan, berintegriti dan berkhidmat untuk masyarakat.
Beliau berkata, tiga fokus berkenaan adalah untuk memperkasakan integriti dalam kalangan warga PDRM, memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM dan meneruskan usaha kerajaan mengekalkan kesejahteraan masyarakat.
“Saya harap setiap pegawai dan anggota PDRM sentiasa dapat bersama-sama dengan saya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dilindungi sepenuhnya.
“Untuk memastikan perkara itu dicapai (memperkasakan integriti), PDRM perlu membuat majlis ilmu seperti memberi penerangan dan meminta semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Ibu Pejabat Polis
Daerah dan balai-balai polis untuk mengadakan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP),” katanya.
Isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi perkara utama yang akan diberi perhatian dan tumpuan bagi memastikan pasukan itu bebas daripada ancaman rasuah.
Hal ini terbukti apabila laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 yang dikeluarkan Transparency International (TI) pada Khamis mendedahkan, persepsi rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini kembali membimbangkan apabila kedudukan Malaysia menjunam ke tangga 57 berbanding tangga 51 pada tahun 2019.
Untuk rekod, Indeks CPI adalah mengenai rasuah di sektor awam bagi setiap negara dan respondennya terdiri daripada ahli perniagaan, penganalisis kewangan, pakar dalam pelbagai bidang dan pelabur asing.
Bercakap tentang isu rasuah di sektor awam, survei Global Corruption Barometer 2020 untuk Malaysia menunjukkan bahawa 71 peratus rakyat berpendapat rasuah dalam pentadbiran kerajaan adalah satu masalah besar dan secara langsung penjawat awam dikaitkan dalam isu ini.
Pemimpin masyarakat dan ahli politik juga ada adalah individu yang paling penting dalam usaha membentuk integriti kerana mereka yang menjadi contoh ikutan kepada generasi masa kini.
Negara masih mempunyai peluang dan ruang untuk membanteras rasuah sekiranya semua pihak memberi keutamaan kepada aspek integriti dalam memastikan negara ini terus maju ke hadapan.
Justeru, penulis harap semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda perlu sedar dan membudayakan sikap berintegriti setiap masa dan di mana sahaja anda berada.