LIGA Malaysia (Liga M) sejak dua minggu kebelakangan ini amat meriah apabila kelab gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi tumpuan bukan hanya peminat bola sepak bahkan warga maya di media sosial.
Ceritanya bermula apabila JDT kalah 0-1 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 24 April lalu, kekalahan pertama skuad Harimau Selatan musim ini.
Sebenarnya, bukan mudah untuk menewaskan JDT bimbingan ketua jurulatih, Benjamin Mora kerana kelab bola sepak dari selatan tanah air itu sudah lama melakukan transformasi serta berusaha keras membina pasukannya seperti apa yang ada sekarang.
Apa pun, tahniah buat skuad Penyu bimbingan Mohd. Nafuzi Zain kerana memiliki kemampuan melakukan kejutan ke atas Harimau Selatan di gelanggang lawan. Mungkin terlalu dibuai-buai kemenangan tersebut, TFC dilihat mula terleka sebelum sedar mereka sebenarnya sudah dibaham Harimau Kumbang 4-1 pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak seminggu kemudian.
Pada masa sama, JDT yang cuba bangkit daripada kekecewaan hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang pasukan KL City kendalian Bojan Hodak sedangkan ia merupakan detik penting untuk skuad Mora mendapatkan momentum kemenangan.
Maka, meledaklah segala status, tulisan, kenyataan, komen, ulasan, kritikan terkeluar tanpa batas daripada warga maya ke laman Facebook sama ada secara tajam, sinis, perli, tempelak, selar dan sebagainya. Boleh dikatakan kebanyakannya menyerang JDT.
Lagi mendidihkan suhu Liga M minggu sudah, skuad Harimau Selatan diuji lagi apabila dijadualkan menentang pasukan yang bukan calang-calang dari utara tanah air iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Ibarat buku bertemu ruas, perlawanan penuh sengit itu berakhir dengan kemenangan 1-0 berpihak kepada JDT yang meraih penalti pada minit ke-90 hasil sepakan sempurna oleh Bergson.
Akhirnya, anak-anak buah Mora lega kembali ke landasan kemenangan selepas dua aksi suram sebelum itu.
Meskipun berlaku perkara tidak menyenangkan pada perlawanan itu, penulis melihat insiden tersebut sebagai asam garam dalam sukan bola sepak. Apa yang penulis ingin ketengahkan ialah kecekalan JDT yang ditransformasikan sejak tahun 2013.
Pada penulis, JDT telah meletakkan penanda aras sebagai sebuah kelab bola sepak berjenama yang harus diteladani semua pasukan sama ada amatur atau profesional di Malaysia terutamanya dari segi kejayaan di dalam atau luar padang.
Usahkan dewasa, kanak-kanak yang bermain bola juga tahu mengenai JDT dan berangan-angan bermain dengan kelab hebat itu. Apatah lagi memang bergelar seorang pemain, siapa yang mahu menolak tuah beraksi di sebuah kelab hebat, fasiliti cukup, stadium besar, gaji bagus, kebajikan terjaga dan paling penting tiada tunggakan.
Akhirnya, sejak pasukan bola sepak berpersatuan (FA) berubah kepada kelab (FC), pandang-pandang lah ke selatan tanah air untuk memajukan pasukan masing-masing dan bukan hanya menuding jari ke sana ke sini.