SEPANG – Tindakan sebuah kilang penstoran minyak pelincir terpakai yang beroperasi secara haram di Telok Panglima Garang membawa padah apabila didenda RM85,000 dan sehari penjara oleh Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat itu didenda atas empat pertuduhan berhubung aktiviti bagi penstoran minyak pelincir terpakai yang dikategorikan sebagai SW305 tanpa sebarang kelulusan JAS.
Menurutnya, Hakim Noorhisham Jaafar menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik tunggal kilang selaku orang kena saman (OKS).
“Pemilik tunggal kilang berusia 37 tahun itu mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan yang dikenakan terhadap dirinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Aziah berkata, bagi pertuduhan pertama, pada 24 Oktober 2019, pemilik tersebut didapati telah menempatkan buangan terjadual iaitu minyak pelincir terpakai di premisnya tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling seperti kehendak bawah Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Katanya, bagi pertuduhan kedua pula, pemilik didapati telah menjalankan aktiviti penstoran minyak pelincir terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA seperti kehendak di bawah Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Manakala pertuduhan ketiga pula, pemilik didapati menjalankan aktiviti tersebut tanpa sebarang Kebenaran Bertulis daripada Ketua Pengarah di bawah Seksyen 19(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Bagi pertuduhan keempat, pemilik didapati menjalankan aktiviti tersebut tanpa sebarang lesen sebagai Premis Yang Ditetapkan daripada Ketua Pengarah di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – K! ONLINE