PUTRAJAYA – Solat sunat Aidilfitri di Kuala Lumpur dibenarkan mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan 1.5 meter dan dilaksanakan di masjid kariah atau surau masing-masing sahaja.
Itu ketetapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketetapan baharu itu dibuat memandangkan Kuala Lumpur diletakkan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 20 Mei depan.
Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, bagi Kuala Lumpur juga, kebenaran sama diberikan bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Tarawih berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, aktiviti qiamullail dibenarkan 100 orang sahaja mulai pukul 5 pagi dengan penjarakan fizikal 1.5 meter manakala, tadarus al-Quran dan majlis khatam al-Quran secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.
“Selain itu, takbir Hari Raya pada malam 1 Syawal dibenarkan dengan peserta tidak melebihi 20 orang dalam kalangan ahli jawatankuasa atau pegawai masjid sahaja sehingga pukul 10 malam.
“Jamuan selepas solat sunat Aidilfitri, majlis jamuan Hari Raya dan aktiviti ziarah kubur adalah tidak dibenarkan,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, kuliah atau tazkirah secara bersemuka dibenarkan dengan kapasiti separuh dewan solat utama dengan penjarakan 1.5 meter.
Mohd. Ajib berkata, bagi Putrajaya dan Labuan yang kini diletakkan di bawah PKP Pemulihan (PKPP), solat Jumaat, solat fardu, solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan jumlah jemaah mengikut kapasiti masjid, surau Jumaat dan surau termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan 1.5 meter. – K! ONLINE