PETALING JAYA – Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkuat kuasa lusa sehingga 22 Mei ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebanyak 120 kes positif Covid-19 telah direkodkan di kampung tersebut melibatkan Kampung Paya Ular (42), Kampung Tualang (26) dan Kampung Bechah Palas (52).
“Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan berlaku peningkatan kes secara mendadak manakala kadar positiviti koronavirus di tiga lokaliti itu adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan penamatan PKPD Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat, Selangor dan PKPD Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah bermula esok mengikut jadual yang ditetapkan.
Jelasnya, KKM mengesahkan kluster di sekolah tersebut terkawal manakala kali terakhir sejumlah empat kes direkod pada 3 Mei 2021 dengan saringan awal ke atas 166 pelajar daripada kumpulan tidak berisiko mendapati kesemuanya negatif sementara sebanyak 84 kes direkod daripada 622 saringan dijalankan di Kampung Muhibbah Raya.
Tambahnya, PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan yang sepatutnya berakhir pada 16 Mei ini ditamatkan esok kerana kes menunjukkan penurunan dengan sejumlah 866 ujian saringan dilakukan 431 daripadanya disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE