PETALING JAYA – Masih ingat dengan pelantun lagu klasik, Bila Rindu Ku Sebut Nama Mu? Penyanyi dengan nama pentas Siti Fairuz itu memaklumkan dirinya tidak berminat untuk terlibat dengan sebarang pertandingan nyanyian semata-mata untuk mengejar populariti.
Siti Fairuz atau nama lengkapnya, Siti Fairuz Sheikh Mohamed, 57, berkata, pada usianya sekarang, dia tidak mempunyai kudrat dan stamina untuk bersaing dengan penyanyi-penyanyi muda.
Katanya, ketika musim pertama program realiti, Gegar Vaganza, dia pernah ditawarkan untuk turut serta bertanding namun dia menolak dengan cara baik.
“Waktu ditawarkan dahulu, saya tidak rasa diri mempunyai pakej untuk bertanding. Daripada memalukan diri atas pentas, lebih baik saya tak masuk bertanding langsung.
“Bukan ‘level’ saya untuk bertanding. Bukan saya lebih hebat tetapi saya takut tidak mencapai piawaian. Itu musim pertama dahulu, kalau ditawarkan sekarang, lagilah saya tidak mahu sebab stamina memang sudah tidak seperti waktu muda,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! Online pada majlis berbuka puasa artis-artis veteran di Restoran Mohd Chan di ibu negara baru-baru ini.
Siti Fairuz memberitahu, pun begitu, darah seni masih mengalir deras dalam dirinya. Namun itu tidak bermaksud walaupun usia sudah mencemburui, dia perlu terus mengejar sesuatu yang tidak pasti.
“Kalau nak artis macam saya ini menyanyi, buatlah program yang bersesuaian. Yang bertanding dalam kalangan ‘kita-kita’. Kita ini sudah tua, tak layak nak bertanding atau bersaing dengan yang muda-mudi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Siti Fairuz yang merupakan anak kelahiran Pahang itu sibuk dengan perniagaan baharunya iaitu kopi dayang senandung, kopi kampung dan kopi tumbuk serta produk wangian.
“Sebenarnya anak-anak ada bagi duit belanja setiap bulan dan saya juga tak perlu menyanyi atau meniaga. Kalau tiada undangan menyanyi, bosan di duduk rumah, saya sibukkan diri meniaga kopi dayang senandung, kopi kampung dan kopi tumbuk.
“Selain kopi saya juga ada jual Siti Fairuz Parfum dengan tiga bauan mengikut tajuk-tajuk lagu popular saya iaitu Usah Bertanya Lagi, Bila Rindu Ku Sebut Namamu dan Sebutan Tak Bermakna. Saya hanya meniaga secara online dan buka booth di karnival,” kata Siti Fairuz lagi.
Sebelum ini, Siti Fairuz pernah mendirikan rumah tangga bersama Mohamad Zainuddin namun bercerai pada 14 Julai 2008. Selepas itu, dia mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap dengan Mahmud Abdul Samad pada 9 September 2011 di Pulau Pinang namun tidak berkekalan lama iaitu sekitar tiga empat tahun.
Hasil perkahwinan pertama, Siti Fairuz dikurniakan lima orang cahaya mata. Empat orang sudah berumah tangga dan seorang lagi masih bujang. Mereka ialah Farhanah Afifah, 32, Farahiah Amirah, 30, Fadhli Asyraf, 28, Fariz Afiq, 26 dan Fakhri Aiman 22 tahun. – K! ONLINE