fbpx

AADK benarkan lawatan keluarga semasa Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Klien di semua Puspen dibenarkan menerima lawatan keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri selama empat hari bermula 13 hingga 16 Mei ini.

PETALING JAYA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan keluarga klien di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selama empat hari bermula pada 13 Mei hingga 16 Mei ini.

Unit Media dan Komunikasi Korporat AADK dalam satu kenyataan berkata, kebenaran itu diberi bertujuan memberi ruang dan peluang kepada klien meraikan Syawal bersama keluarga selain mengeratkan hubungan antara AADK dengan masyarakat.

Bagaimanapun, sesi lawatan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Kehadiran keluarga adalah secara janji temu awal melalui pegawai pemulihan yang boleh dibuat menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas, aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel.

“Pihak Puspen akan menetapkan dan memaklumkan tarikh dan waktu perjumpaan selepas janji temu dibuat dengan setiap sesi lawatan hanya dibenarkan selama 30 minit terhad kepada 25 individu pada satu-satu masa.

“Klien boleh menerima lawatan daripada dua orang ahli keluarga terdekat sahaja misalnya ibu bapa, abang, kakak, adik dan isteri yang disahkan pegawai pemulihan,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.

Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan melawat dengan sesi lawatan akan berlangsung di ruang terbuka bagi tujuan kawalan keselamatan, penjarakan fizikal dan pemantauan.

“Keluarga yang hadir mesti mematuhi SOP keselamatan Puspen serta mengikut peraturan pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit,” tambahnya.

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my untuk maklumat lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI