fbpx

NEC perluas program KerjayaUP,  tambah tiga ahli tetap – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (tengah) mempengerusikan NEC secara sidang video hari ini.

PUTRAJAYA – Program KerjayaUP khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar yang dilancarkan 12 April lalu berjaya membantu 489 pemohon mendapat pekerjaan serta-merta,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, untuk itu, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) bersetuju memperluaskan program itu secara lebih agresif dengan sasaran yang lebih meluas bagi membantu sosioekonomi golongan ini untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

Katanya, tiga ahli tetap tambahan mewakili sektor kewangan, keusahawanan dan inovasi turut dilantik bagi memantapkan komposisi keahlian NEC supaya lebih inklusif.

“Mereka ialah Ahli Lembaga Pengarah Maybank Investment Bank Bhd, Datuk Seri Sharifah Sofianny Syed Hussain; Presiden Persatuan Wanita Bumiputra dalam Perniagaan Profesion Malaysia (PENIAGAWATI), Datuk Azlin Ahmad Shaharbi dan pengasas bersama GoGet, Francesca Chia,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat ketiga  yang diadakan secara sidang video hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, inisiatif penempatan pekerjaan dan pewujudan pekerjaan baharu melalui komitmen pelaburan telah mengatasi sasaran yang ditetapkan secara keseluruhan.

Beliau memaklumkan, sebanyak 150,597 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan oleh kerajaan setakat 23 April lepas.

Menurutnya, kejayaan itu melebihi jumlah unjuran kumulatif setakat bulan April lalu dengan sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini.

“Usaha kerajaan meningkatkan pelaburan dalam negara telah berjaya mewujudkan 33,907 pekerjaan baharu dan 76 peratus daripadanya adalah dalam kategori mahir dan separuh mahir.

“Ini adalah sebahagian daripada sasaran 160,000 pekerjaan baharu hasil daripada komitmen pelaburan bagi tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga dimaklumkan bilangan orang bekerja sendiri (OBS) termasuk pekerja gig yang mendapat Perlindungan Sosial daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menunjukkan peningkatan daripada 71,000 pada tahun 2019 kepada 81,000 (2020) dan yang terkini 142,000 (2021).

Beliau berkata, pihak Grab Malaysia telah membentangkan strategi memperkasakan ekonomi domestik melalui proses digitalisasi dengan empat program perintis yang dicadangkan mampu menyediakan lebih 35,000 peluang pendapatan bagi pekerjaan e-hailing, golongan OKU, para peniaga di pasar awam serta perusahaan makanan dan minuman (F&B).

Katanya, mesyuarat mengambil maklum kesukaran golongan OKU dan rentan dalam mendapatkan akses kepada peluang penjanaan pendapatan.

“Sehubungan itu, NEC telah meminta Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengkaji langkah-langkah termasuk peruntukan perundangan bagi memastikan inisiatif dapat dijalankan dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, fasa peringkat perancangan dan ‘key strategy formulation’ telah selesai pada suku pertama tahun ini dan tumpuan kini diberikan kepada langkah pelaksanaan.

“Saya telah mengingatkan kementerian dan agensi kerajaan untuk terus memberikan perhatian serta keutamaan kepada perkara-perkara berkaitan inisiatif pekerjaan,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI