KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan provokasi sekiranya bertembung dengan gajah liar.
Pakar Zoologi, Dr. Mohamed Zakaria Hussin berkata, gajah merupakan haiwan yang mudah berasa terancam oleh itu, orang ramai perlu kekal bertenang dan tidak panik.
Katanya, pemandu juga perlu mematuhi papan tanda amaran apabila melalui kawasan yang menjadi laluan haiwan tersebut.
“Kebiasaannya ada disediakan papan tanda amaran yang mengingatkan pemandu untuk berhati-hati dengan gajah di kawasan-kawasan tertentu.
“Sekiranya bertembung, jangan sesekali bunyikan hon ataupun menyuluh lampu ke arah haiwan itu. Seeloknya berhentikan kenderaan, dan tunggu haiwan itu pergi dan jangan cuba menghalaunya,” katanya ketika mengulas kejadian seekor gajah memijak sebuah kenderaan di kawasan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa, Gerik semalam.
Dalam pada itu menurutnya, kejadian gajah berkeliaran di beberapa kawasan baru-baru ini bukanlah berpunca dari musim mengawan.
“Lokasi di mana gajah-gajah itu ditemui mungkin merupakan kawasan laluan mereka, ataupun berada berhampiran habitatnya.
“Gajah juga kebiasaannya tidak akan mengamuk kecuali jika kawasannya diganggu,” katanya. – K! ONLINE.