fbpx

Ops Raya 2021 pastikan bekalan elektrik mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Isran (dua dari kanan) menyantuni segelintir penerima bantuan sempena Program Berbuka Puasa Pengurusan TNB Johor bersama Golongan Asnaf di Batu Pahat, Johor semalam.

Oleh NUR NABILAH RAHMAT

BATU PAHAT – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor melaksanakan Ops Raya 2021 bagi memastikan semua pengguna termasuk kira-kira 1.2 juta pemilik akaun domestik di negeri ini menikmati bekalan elektrik yang stabil sepanjang Aidilftri kali ini.

Ketua Aset Zon Selatan TNB Johor, Mohd. Isran Che Mustapha berkata, pasukannya di seluruh daerah diletakkan di bawah keadaan bersiap siaga 24 jam sehari bagi melayani penggunaan bekalan elektrik yang dijangka naik secara mendadak.

“Pasukan teknikal merangkumi jurutera dan juruteknik bagi sistem voltan rendah (LV) dan voltan tinggi (HV) akan berada dalam keadaan tunggu sedia disemua lokasi cawangan di negeri ini.

“Kita akan memastikan bekalan elektrik terjamin mencukupi sebelum dan semasa musim sesuatu perayaan sama ada Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau perayaan lain kerana ketika itu penggunaan elektrik akan naik secara mendadak.

“Kita telah kenal pasti kawasan-kawasan yang menggunakan elektrik terlalu tinggi seperti di kawasan perkampungan Felda atau taman perumahan,” katanya pada sidang akhbar Program Berbuka Puasa Pengurusan TNB Johor bersama Golongan Asnaf dekat sini semalam.

Mohd. Isran berkata, untuk pertama kali di negeri ini, pihaknya menubuhkan Distribution Command Tower (DCT) yang berfungsi untuk memantau dan melancarkan operasi termasuk pengagihan elektrik ke kawasan yang mendapat permintaan tinggi atau yang mengalami gangguan bekalan.

“DCT ini adalah yang kedua ditubuhkan di negara ini selepas di Kuala Lumpur berpusat di Kempas, Johor Bahru dan beroperasi 24 jam mengikut jadual pergiliran melibatkan kakitangan TNB yang akan mengawal atau menyelenggara sistem LV dan HV,” katanya.

Katanya, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah di Johor dan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, pihaknya menjangkakan aduan kes-kes yang berkaitan bekalan elektrik tidak setinggi kebiasaan.

“Jika sebelum ini orang ramai akan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya dan penggunaan elektrik di kawasan yang berkaitan menjadi semakin tinggi sehingga terputus bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, orang ramai juga tidak perlu gusar dengan situasi bil melambung seperti PKP pada tahun lalu, kerana kali ini pembaca meter turun padang melakukan bacaan meter.

Sementara itu, dalam program berkenaan TNB Johor menyampaikan sumbangan barang keperluan harian kepada 20 orang asnaf di daerah Batu Pahat bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI