JOHOR BAHRU – Seorang pegawai rendah polis berpangkat konstabel antara empat lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat kes samun seorang lelaki warga Nepal di sekitar daerah Iskandar Puteri dekat sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, tiga lagi yang ditahan terdiri daripada pekerja buruh binaan, pemandu bas serta pemandu lori tunda berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun.
“Bertindak atas maklumat, pasukan polis daerah Iskandar Puteri membuat tangkapan ke atas empat individu terbabit di kawasan Gelang Patah dan Mutiara Rini pada pukul 12.10 tengah malam.
“Polis juga telah membuat rampasan di beberapa lokasi termasuk Mutiara Rini, Gelang Patah, tapak Indah Water Kota Iskandar serta kawasan flat Taman Ungku Tun Aminah,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara yang dirampas ialah lima telefon bimbit pelbagai jenama, satu kad kuasa polis, sepasang gari tangan, sebuah kereta jenis Toyota Vios, dan sebuah kereta Honda City.
Dzulkhairi berkata, hasil siasatan awal mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini bagi membantu siasatan dijalankan.
“Polis Iskandar Puteri percaya dengan tertangkapnya sindiket ini, beberapa kes samun berkumpulan berlaku sepanjang bulan ini berjaya diselesaikan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE