Oleh NORADILA MAHAMAD
KUALA TERENGGANU – Superintendan Tium Ming Kung secara rasmi menjawat jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu berkuatkuasa semalam.
Beliau sebelum ini merupakan Pegawai Turus Perundangan/Naziran JSJN Pulau Pinang.
“Saya melihat permasalahan penyalahgunaan dadah di Terengganu agak terkawal tetapi tidak boleh dipandang remeh.
“Oleh kerana itu, saya telah menggariskan lima visi yang akan diperkenalkan bagi membanteras gejala dadah di negeri ini dengan penekanan diberikan kepada golongan penagih dadah tegar,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu menerima dokumen serah tugas daripada Deputi Superintenden Alexchantra Gabrial yang memangku jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri sebelum ini pada majlis yang disaksikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik.
Ming Kung berkata, antara pendekatan yang akan diambilnya ialah mengasingkan penagih tegar dan baharu bagi memastikan mereka tidak dapat bergaul.
Ujar beliau, pendekatan itu menutup ruang kepada penagih baharu untuk terjebak semula pada gejala penagihan dadah sekali gus dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. – K! ONLINE