PETALING JAYA – Pengarah berkaliber yang pernah melahirkan banyak filem menggamit memori, Aziz M. Osman mempunyai alasan mengapa dirinya tidak lagi mengarahkan filem-filem berkualiti seperti dahulu.
Aziz atau nama lengkapnya, Abdul Aziz Mohd. Osman, 59, menjawab pertanyaan beberapa pengguna Twitter yang mempersoalkan mengapa tiada lagi filem-filem berkualiti lahir dari kerusi arahannya.
“Sebab filem ‘kualiti’ tidak boleh tampung belanja saya sekeluarga.
“Soal selera kita tak boleh paksa. Tapi kita boleh didik generasi depan untuk ‘berselera tinggi’,” ciapnya menerusi Twitter.
Disoal seorang netizen yang menyarankan dirinya agar membikin filem seperti Korea Selatan, Aziz menjawab ringkas: “Cuba tgk filem kualiti macam One Two Jaga. Tak perlu sedih. Saya masih bekerja, cuma tidak ‘berkarya’.”
Sehubungan itu, ramai yang membongkar filem-filem berkualiti arahannya yang bukan sahaja berjaya pecah panggung suatu ketika dahulu tetapi penuh nostalgia. Antara filem hebat arahannya Puteri Impian, Fenomena, siri filem Senario dan XX Ray.
Untuk rekod, Aziz pernah beberapa kali menang trofi di Festival Filem Malaysia (Festival Filem Malaysia) termasuk kategori Pengarah Baru Berbakat pada FFM9 menerusi filem Fenomena dan Pengarah Baru Harapan pada FFM10 (XX Ray). – K! ONLINE