fbpx

YWP pintas kerenah birokrasi bantu warga kota terhimpit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (tengah) menyampaikan replika cek Skim Biasiswa Anak Wilayah Persekutuan bernilai RM1 juta kepada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berhasrat memintas kerenah birokrasi sekali gus menjadi pemudah cara bagi membantu warga kota yang ditimpa kesusahan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu golongan Wilayah Persekutuan yang tidak berkemampuan melalui pelbagai aktiviti atau program pembangunan merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, sosial, agama, dan teknologi.

“Ia melibatkan bantuan jangka pendek dan jangka panjang dan kita berharap sistem penyampaian YWP terus sampai kepada golongan sasar tanpa melalui kerenah birokraksi yang panjang.

“Hasrat ini dapat dicapai jika kita menzahirkan sikap cakna semaksimum mungkin serta sungguh-sungguh membantu warga kota yang dihimpit masalah dan ia datang dari hati yang luhur dan bukan dibuat-buat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa YWP di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, YWP menyampaikan bantuan awal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bernilai antara RM500 dan RM5,000 kepada 15 penerima daripada keluarga berpendapatan rendah yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT awam atau swasta di dalam dan luar negara.

Annuar menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima bantuan awal melanjutkan pelajaran ke IPT.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sehingga kini, YWP telah membantu seramai 4,300 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dengan nilai bantuan keseluruhan mencecah RM3.2 juta.

YWP turut memperuntukkan sumbangan Bantuan Makanan Sekolah Menengah sebanyak RM2.5 juta bernilai RM5 sehari kepada 2,500 murid sekolah menengah di Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah pada tahun ini.

Katanya, YWP turut memperuntukkan pemberian Skim Biasiswa Khas Anak Wilayah berjumlah RM1 juta untuk murid tingkatan 1 hingga 5 di Wilayah Persekutuan dari keluarga kurang berkemampuan yang cemerlang pada kadar bermula RM960 hingga RM2,000 setahun.

“YWP juga turut menyalurkan keuntungan perniagaan melalui pelbagai program bantuan dan sokongan antaranya bantuan bencana, skim khairat kematian, bantuan Covid-19, bantuan khas perniagaan dan projek usahawan anak muda kota.

“Satu daripada program yang memberi impak besar tahun ini ialah Program MyBeras@Wilayah melibatkan pemberian 5,750 kampit beras seberat 5 kilogram setiap minggu kepada warga Wilayah Persekutuan bermula Februari lalu yang setakat ini melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1 juta,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI