LONDON – Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez mengakui terdapat kelemahan pada jentera Honda RC213V dan menuntut pasukannya segera memperbaiki masalah itu.
Meskipun Marquez belum mencapai tahap kecergasan 100 peratus akibat kecederaan yang menimpanya sebelum ini, pelumba Sepanyol itu berjaya mengesan kelemahan pada jentera Honda ketika bersaing di Jerez Ahad lalu
Marquez menegaskan terdapat kesukaran terutama ketika di pertengahan selekoh hingga menyebabkannya kehilangan beberapa saat di sektor tersebut.
“Saya mampu mengikuti dua pelumba Honda iaitu Stefan Bradl, Pol Espargaro dan juga Johann Zarco (Ducati) untuk beberapa pusingan.
“Bagi saya kami kehilangan lebih banyak masa pada pertengahan selekoh. Biasanya kami tidak berdepan masalah seperti ini dan mampu keluar selekoh dengan lebih laju.
“Pasukan perlu segera memahami masalah ini dan menganalisis data setiap pelumba,” katanya.
Marquez tidak menyertai sesi ujian di Jerez Isnin lalu selepas mengakui keadaan fizikalnya tidak membolehkan untuk turun menguji jentera Honda.
Minggu lalu, Espargaro menyatakan kebimbangan selepas semua pelumba Honda menggunakan pakej yang berbeza sekali gus menyukarkan perkembangan pasukan tersebut. – AGENSI