PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail tenang menghadapi tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan bersedia mengheret masalah itu ke mahkamah.
Kelmarin, ASTAF sebulat suara mengenakan tindakan menggantung Ahmad Ismail atau dikenali Tok Mat selama 15 tahun.
Ahmad juga dikehendaki membayar balik sebanyak AS$25,000 (RM102,900) untuk menampung kos melaksanakan keseluruhan pendengaran.
Bagaimanapun, Presiden PSM itu mengakui beliau tidak gerun dengan keputusan ASTAF dan bersedia membuat tindakan selanjutnya selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Sebenarnya demi mahu menjaga kemuliaan bulan Ramadan dan saya tidak mahu mencalarkan amal-amal di dalam bulan yang mulia ini.
“Saya bersedia membuat kenyataan media selepas saya menyambut hari raya keenam kelak. Namun, apa yang dapat saya katakan pada ketika ini ialah kita tidak perlu gerun mendengar keputusan dibuat oleh ASTAF.
“Biarlah mereka mendendangkan lagu apa pun jua, nasihat saya kita tidak perlu menari mengikut rentak mereka. Kita ada cara kita iaitu undang-undang dan mahkamah.
“Bagi saya ASTAF tiada kebebasan bersuara kerana tindakan kita menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dianggap satu kesalahan besar. Jadi tunggulah keputusan mahkamah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ahmad didapati bersalah dalam empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 iaitu menghantar surat kepada OCA dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk meminta campur tangan keputusan pemilihan Kongres Astaf 1 Mac lalu.