PETALING JAYA – Pandemik Covid-19 tidak menjadi penghalang kepada Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) untuk terus mengorak langkah mencapai visinya menjadi institusi kebajikan dan pendidikan kerohanian yang cemerlang serta unggul di negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob berkata, sejak mula beroperasi pada 1 Mac 2013, STAY ATM masih berpegang teguh pada matlamat asas penubuhannya iaitu untuk memelihara kebajikan dan mendidik anak-anak warga muslim Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pendidikan al-Quran.
“Penubuhan STAY ATM juga bertujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak seluruh warga ATM untuk mengikuti kelas pengajian tahfiz al-Quran secara formal.
“Mempunyai pelajar seramai 85 orang pada tahun ini, STAY ATM juga telah melahirkan 76 penghafaz al-Quran (hafiz) sejak penubuhannya,” katanya pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa bersama pelajar STAY ATM di Kem Perdana Sungai Besi, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU), Datuk Seri Muez Add. Aziz; Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi.
Dalam pada itu, Mudir atau Pengetua STAY ATM, Mejar Azhan Ali berkata, STAY ATM sentiasa bersedia mematuhi arahan kerajaan sekiranya sekolah itu perlu ditutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Seiring dengan keadaan negara kini yang dilanda dengan wabak Covid-19 ini, pihak STAY ATM juga turut mengikut arahan yang diumumkan oleh pihak kerajaan, di mana jika dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekolah diarahkan tutup, kita akan laksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).
“Guru-guru akan mengajar dan memantau secara online sewaktu pelajar-pelajar pulang ke rumah masing-masing dan setakat ini pelaksanaan PdPR tidak menjadi penghalang dan kelas tetap berjalan seperti biasa,” jelasnya. – K! ONLINE