fbpx

Bismillah Cinta satukan Pasha, Lesti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASHA UNGU dan Lesti Kejora.

BIARPUN sudah 25 tahun penubuhan, deretan lagu hit daripada band popular Indonesia, Ungu masih menjadi siulan peminat sehingga ke hari ini.

Pernah berada di puncak dengan lagu-lagu seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku dan Andai Ku Tahu momentum band yang dianggotai Pasha, Makki, Enda, Oncy dan Rowman bagaimanapun sempat terhenti seketika.

Tempoh vakum tersebut bagi memberi laluan kepada vokalis mereka, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 41, fokus terhadap dunia politik selepas dilantik menjadi Datuk Bandar Palu, Sulawesi Tengah pada Julai 2016.

Selepas lima tahun, hayat perkhidmatan Pasha selaku Datuk Bandar berakhir sekitar Februari lalu.

TIDAK lagi bergelar Datuk Bandar Palu sejak Februari lalu, Pasha kini kembali sepenuhnya untuk bergerak aktif bersama Ungu.

Justeru, kemunculan single kerohanian terbaharu berjudul Bismillah Cinta duet bersama penyanyi dangdut popular, Lesti Kejora merupakan tanda kembalinya Ungu ke dada industri muzik.

“Sekembalinya saya bersama Ungu, peminat pasti mengharapkan sebuah karya istimewa. Saya juga ingin memberitahu bahawa sudah kembali sepenuhnya dengan Ungu.

“Syukur, label kami bersetuju untuk mengeluarkan sebuah album baharu dan Bismillah Cinta menjadi single pertama,” ujar Pasha sekali penggubah lagu tersebut.

Tutur Pasha lagi, lagu tersebut dikeluarkan pada waktu yang tepat. Selain menjadi single terbaharu Ungu, karya tersebut turut diangkat menjadi runut bunyi sebuah sinetron berjudul Bismillah Cinta yang kini ditayangkan sepanjang Ramadan.

“Memang sudah lama saya tidak menyanyi dan kini kembali dengan single Bismillah Cinta pada bulan Ramadan.

“Bagi saya, waktunya tepat kerana mesej dalam lagu tersebut bercerita tentang kebahagiaan umat Islam pada bulan Ramadan, pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara dan cinta jarak jauh.

LAGU Bismillah Cinta menjadi single terbaharu Ungu , duet bersama Lesti Kejora.

“Elemen keagamaan dalam lagu ini ringan dan mudah difahami. Saya bersyukur kerana Bismillah Cinta diterima dengan baik,” tutur Pasha.

Bismillah Cinta yang sudah mendapat 27 juta tontonan dalam YouTube sejak dimuat naik tiga minggu lalu, sebenarnya tidak mengambil masa lama untuk disiapkan.

Tambah Pasha, lagu berkenaan merupakan single pertama daripada keseluruhan album baharu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi

“Kami sudahkan siapkan lapan buah lagu yang diciptakan oleh setiap anggota Ungu. Selepas dinilai mereka sebulat suara memilih lagu saya sebagai single pertama. Lagu yang seterusnya akan dikeluarkan selepas Ramadan,” kongsi Pasha.

Tambahnya lagi, sudah menjadi tradisi buat Ungu untuk muncul dengan album atau single berunsur kerohanian setiap kali Ramadan sejak 2006 bermula dengan album Syurga Mu.

Kali terakhir mereka muncul dengan lagu kerohanian adalah pada Ramadan tahun lalu dengan lagu Jalan Panjangku.

“Memang setiap kali tibanya Ramadan peminat akan ternanti-nanti karya kerohanian daripada Ungu. Sudah menjadi tradisi dan kami juga dalam masa sama gembira dapat menyebarkan kebaikan pada bulan yang mulia,” tutur Pasha yang ditemu bual bersama Ungu menerusi temu bual secara dalam talian baru-baru ini.

LESTI KEJORA anggap kepercayaan Ungu berduet dalam lagu Bismillah Cinta sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.

Duet

Melanjutkan bicara mengenai Bismillah Cinta, Ungu memilih penyanyi dangdut popular, Lesti Kejora sebagai teman duet mereka. Ini adalah kali kedua mereka memilih bintang dangdut dalam karya Ungu selepas Hampa Hati Ku bersama Lis Dahlia.

Selain bernaung bawah label yang sama iaitu Trinity Optima, Ungu menyifatkan Lesti sebagai pilihan tepat kerana tahap profesionalisme milik penyanyi berusia 22 tahun itu.

“Lesti penyanyi muda yang mempunyai prestasi luar biasa. Dia digelar Diva Muda Dangdut Indonesia kerana memiliki ramai peminat.

“Berduet dengannya ialah sesuatu yang baik buat Ungu untuk mengetengahkan karya baharu.

“Malah, dia juga sangat profesional dan mudah untuk bekerjasama. Kami hanya memerlukan satu sesi untuk membuat rakaman lagu dengannya,” kata Makki.

Meskipun berada di jalur muzik yang berbeza, namun vokal Lesti begitu sesuai dengan lagu Bismillah Cinta dan perkara tersebut membuktikan tahap versatil miliknya.

“Vokal Lesti tidak terhad kepada irama dangdut. Mungkin selepas ini dia boleh meneroka genre lain,” tutur Pasha.

Sementara itu, Lesti Kejora atau nama sebenarnya Lestiani Andryani mengakui teruja dan menyifatkan duet bersama Ungu bagaikan satu mimpi buatnya.

“Peluang berduet bersama Ungu ialah satu pengalaman luar biasa. Ini adalah mimpi yang menjadi nyata apabila dapat pertama kali berduet dengan sebuah band terkenal.

“Terasa bertuah kerana dapat bersama dalam sebuah karya dengan penyanyi senior seperti mereka. Meski kami berlainan genre dalam muzik, tetapi itu bukan penghalang kolaborasi.

“Melihat sambutan baik daripada peminat Ungu dan saya sendiri diharap akan diberi peluang sebeginin lagi pada masa depan,” kata Lesti yang juga juara program realiti nyanyian D’Academy musim pertama.

UNGU kini dalam perancangan untuk menerbit album studio penuh. Kini sebanyak lapan buah lagu telah selesai rakaman.

Cabaran

Kendatipun sudah menghasilkan 13 buah album, namun Bismillah Cinta tetap memberikan pengalaman berbeza buat Ungu, terutama dalam situasi pandemik.

“Pengalamannya memang berbeza, biasanya kami berkumpul untuk berbincang mengenai lagu di studio namun, sekarang kerja semua bergantung kepada platform digital.

“Kami juga harus melakukan ujian calitan setiap kali mahu mengadakan rakaman lagu sebagai langkah berjaga-jaga. Saya sudah tidak ingat berapa kali kami semua membuat ujian calitan, tetapi itu satu tanggungjawab,” ujar Makki.

Menurut Makki juga, senario muzik di Indonesia juga sudah banyak berubah dengan adanya pelbagai sekatan dan peraturan yang harus diikuti bagi membendung penularan virus Covid-19.

“Kami akan memberi lebih fokus kepada platform digital untuk meneruskan kesinambungan muzik Ungu termasuklah untuk single seterusnya dan album terbaharu,” tutur Makki.

Sebelum mengakhiri bicara, Ungu sempat menzahirkan luahan terhadap tragedi yang menimpa 53 kru KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia baru-baru ini.

Tragedi mengejutkan pada bulan Ramadan itu masih menyelubungi segenap jiwa rakyat Indonesia termasuk Ungu.

“Kami turut berdukacita atas apa yang berlaku. Apa sahaja alasan atau silap menjadi cerita duka buat kami, keluarga dan teman seangkatan. Kemalangan yang berlaku cukup tragis, semuanya gugur dalam tugas, tiada selamat dan sememangnya layak digelar pahlawan.

“Semoga keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan dan kesabaran. Saya berharap pihak berkuasa akan menemui punca sebalik kemalangan yang berlaku supaya dapat menghalang perkara sama daripada berulang lagi,” tutup Makki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI