BANDAR BAHARU – Lebih 1,000 penduduk di Relau di sini memerlukan bekalan barang basah susulan penularan Covid-19 bagi Kluster Pintu Relau di kawasan itu sejak hujung bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Relau, Mohd. Fauzi Abdul Wahab berkata, setakat ini, seramai 211 penduduk disahkan positif wabak itu.
“Seramai 988 penduduk yang telah menjalani ujian calitan kini menjalani proses kuarantin di rumah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, penduduk memerlukan barangan keperluan untuk kegunaan sepanjang tempoh kuarantin terutama barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran.
“Ramai penduduk sedang menjalani kuarantin dan tidak boleh keluar membeli barangan terutama ketika kes semakin meningkat sejak beberapa hari lalu.
“Jadi, kita sangat mengalu-alukan sumbangan barang makanan daripada orang ramai yang boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk agihan,” ujarnya.-K! ONLINE