Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
SEBERANG PERAI – Persatuan Pendidik dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring) tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat penguasaan harga ikan dalam kalangan tauke-tauke bot dan pemborong sebelum ia dijual kepada penjual ikan lain dan orang ramai.
Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan berharap agar semua pihak khususnya persatuan nelayan kawasan (PNK) dapat memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dalam hal ini.
Pada masa yang sama, beliau juga berharap agar harga ikan dapat diselaraskan atau dikawal terutamanya ketika musim Coronavirus atau Covid-19 yang sedikit-sebanyak menyekat pergerakan nelayan untuk bebas ke laut.
“Inilah yang kami sedang perjuangkan sekarang dan sejak sebelum-sebelum ini lagi.
“Sepatutnya PNK kena main peranan lebih kerana setiap persatuan nelayan ini dikatakan menerima peruntukan hingga RM200,000 oleh kerajaan sepanjang musim Covid-19.
“Ke manakah wang ini dibelanjakan jika bukan untuk kebajikan ahli atau nelayan-nelayan di kawasan masing-masing?” soal beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Tambah Che Ani, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan terhadap harga ikan semasa di seluruh negara amnya dan di kawasan utara khususnya di Kedah dan Pulau Pinang.
Katanya, hal ini penting bagi memastikan situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai dalam kalangan pemborong, nelayan, penjual ikan dan seterusnya orang ramai atau pengguna itu sendiri. – K! ONLINE