fbpx

Ibu tunggal didakwa terlibat pengubahan wang haram hampir RM1juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di Ayer Keroh, Melaka di sini, hari ini.

MELAKA – Seorang ibu tunggal anak tiga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1juta bagi kegunaan peribadi, pada tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Loo Mei Lin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menggunakan satu nombor akaun sebagai peralatan kesalahan berkaitan aktiviti haram.

Dalam pertuduhan dua hingga tujuh, tertuduh didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM962,845.21 yang merupakan hasil aktiviti haram melalui akaun miliknya daripada mangsa, Teh Eet Meng, 55.

Manakala pertuduhan lapan sehingga 19 tertuduh didakwa telah menggunakan wang berjumlah keseluruhan RM273,225.84 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram bagi membayar kad kredit OCBC Bank, Public Bank, RHB Bank dan HSBC Amanah Malaysia Berhad miliknya serta membeli polisi-polisi insuran atas nama ahli keluarga.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah pada 29 Disember 2014 sehingga 30 Julai 2015.

Tertuduh yang bekerja sebagai ahli perniagaan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Maziah kemudian menetapkan tarikh 4 Jun depan sebagai sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI