KUALA LUMPUR – Kes jangkitan Covid-19 di negara boleh mencecah sehingga 10,000 kes sekiranya tidak ada intervensi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui pembentangannya.
“Dalam pembentangan KKM ada memaklumkan, jika tiada intervensi dan pematuhan SOP secara berterusan tidak mustahil selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti, kes harian boleh meningkat sehingga 5,000 kes sehari dan kalau masih lagi gagal mematuhi SOP mungkin boleh mencecah sampai 10,000.
“Jika sampai 10,000 kes kita akan jadi macam India. Kita tidak mahu perkara itu terjadi di negara kita, jadi saya harap rakyat faham tindakan yang dilakukan adalah untuk melindungi nyawa mereka. Tidak lebih daripada itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa bersama pelajar Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) di Kem Perdana Sungai Besi di sini.
Sementara itu, ditanya mengenai apakah rasionalnya kebenaran makan di restoran dan kedai makan ditarik semula, Ismail Sabri berkata, ia dilaksanakan kerana masih ramai tidak mematuhi penjarakan fizikal dan pemakaian topeng muka.
“Kalau kita ke pasaraya atau tempat terbuka yang lain, kita masih boleh memakai topeng muka. Walaupun kita tidak tahu sejauh mana ia boleh melindungi tetapi masih perlu pakai pelitup muka.
“Apabila di restoran atau kedai makan, kita perlu buka topeng untuk makan. Di kedai makan pula ada sesetengah pihak yang tidak menjaga penjarakan fizikal, ditambah pula dengan tidak memakai pelitup muka.
“Oleh itu KKM beri nasihat, sukar untuk mereka benarkan kerana tidak memakai pelitup muka jauh lebih bahaya. Jadi, buat masa ini kita tutup dahulu, tengok keadaan dari segi kes makin berkurangan dan pertukaran status PKP,” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan semalam mengumumkan enam daerah di Selangor dikenakan PKP bermula esok hingga 17 Mei depan sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula turut dikenakan PKP bermula Jumaat ini sehingga 20 Mei depan. -K! ONLINE