JOHOR BAHRU – Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang mewajibkan setiap individu memakai topeng pelitup muka memberi idea kepada Adzahir Zaharin, 49, untuk menghasilkan pelitup muka unik.
Adzahir yang bekerja sebagai seorang pembuat topi keledar motosikal mendapat idea ketika masa terluang akibat tiada pekerjaan sejak pandemik Covid-19 melanda.
“Pada mulanya saya membuat pelitup muka ini sebagai hobi sahaja ekoran tiada pekerjaan semasa pandemik Covid-19 ini.
“Idea ini datang sendiri, manakala reka bentuk dan corak yang dihasilkan adalah berdasarkan topi keledar penuh cuma saya kecilkan untuk disesuaikan dengan saiz topeng pelitup muka,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kempas, di sini baru-baru ini.
Pelitup muka yang dihasilkan Adzahir dibuat menggunakan gabungan bahan kertas karbon fiber dan pewarna kalis air dengan setiap satu unit mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.
Katanya, topeng muka unik yang dihasilkannya itu sesuai dipakai untuk penunggang motosikal atau sebagai kegunaan harian. -K! ONLINE.