fbpx

Berkata benar walaupun pahit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hamid (kiri) bersama Acryl Sani.

Pada Isnin lalu berlangsungnya majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara (KPN) ke-13 di antara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Bukit Aman.

Terlalu pantas masa berlalu, tiba masanya Abdul Hamid menyerahkan tongkat kuasa KPN selepas dua tahun mengepalai Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah dilantik ke jawatan itu secara kontrak pada 3 Mei 2019.

Menjelang hari-hari terakhir persaraannya, satu demi satu pendedahan dibuat oleh Abdul Hamid.

Ada yang mendakwa beliau berbuat demikian kerana merajuk. Ramai yang melihat ia sebagai langkah yang tepat kerana masyarakat berhak tahu apa yang berlaku.

Beliau juga menjadi KPN yang paling lantang bercakap soal integriti, semuanya dengan niat yang satu untuk meningkatkan semula martabat PDRM yang sudah lama tercalar.

Antara yang paling diingati, sebulan selepas dilantik sebagai KPN, Abdul Hamid pernah mengeluarkan arahan bahawa tindakan tegas termasuk ditukarkan akan diambil terhadap mana-mana pegawai termasuk Ketua Polis Daerah yang masih berdegil mengutip dana untuk membiayai majlis sambutan perayaan.

Saya percaya sesiapa pun yang bergelar ketua pasti sedaya-upaya mahu melakukan yang terbaik untuk pasukan dan anak-anak buahnya walaupun bukan semua yang menurut kata.

Kini harapan disandarkan pula kepada Acryl Sani yang dilantik ke jawatan tersebut berkuat kuasa pada Selasa lalu.

Bukan mudah menguruskan satu pasukan yang mempunyai kira-kira 129,000 pegawai dan anggota di seluruh negara. Ada bermacam-macam ragam, namun itulah yang terpaksa dihadapi.

Dalam sidang akhbar pertamanya sebagai KPN, Acryl Sani menegaskan isu integriti akan menjadi keutamaan beliau selain beberapa lagi perkara lain mengikut turutan kepentingannya.

Acryl Sani sendiri mengakui tanggungjawab itu terlalu berat. Sudah pasti beliau juga mempunyai pelan tertentu untuk menangani masalah salah laku seperti meminta atau menerima rasuah dan salah guna kuasa yang sering dikaitkan dengan pasukan tersebut.

Walaupun ramai yang mengharapkan agar sikap Abdul Hamid yang berani bersuara diwarisi pelapisnya, namun ini bukan masa dan peluang untuk membuktikan siapa yang lebih baik, siapa yang paling lantang bersuara dan siapa yang pandai menjaga kebajikan anak buah.

Sebaliknya, ini adalah masa dan peluang untuk melakukan yang terbaik demi kepentingan semua. Bercakaplah benar walaupun pahit, bertindaklah walaupun perit.

Menjadi barisan hadapan yang menjaga keselamatan negara dan menjadi perlindung kepada rakyat jelata, namun pada masa yang sama menjadi ketua yang disegani dan dihormati.

Bila tiba masanya, jawatan perlu dilepaskan kepada pengganti, jadi lakukanlah yang terbaik walaupun tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Kepada Datuk Seri Acryl Sani, selamat menjalankan tugas dan terima kasih diucapkan kepada Tan Sri Abdul Hamid atas jasa anda untuk negara dan rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI