MARAN – Seorang penganggur yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh ibu kandungnya kelihatan tenang ketika kertas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nursyafiqah Noorinda.
Dalam prosiding itu, tertuduh, Mohd. Fairul Ahmadiah, 39, yang hadir tanpa ditemani mana-mana ahli keluarganya tidak memberi sebarang reaksi sama ada menangis atau sedih.
Namun, lelaki terbabit dilihat sesekali terpinga-pinga ketika kertas pertuduhan dibacakan.
Mohd. Fairul yang hanya senyap ketika pertuduhan dibacakan mengangguk tanda faham selepas ditanya kali pertama dan kemudian menjawab ‘faham’ selepas sekali lagi ditanya oleh majistret.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Fairul didakwa telah menyebabkan kematian ibunya, Meriani Ismail, 55, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pesagi, Chenor dekat sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada 29 April lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.
Mohd. Fairul juga didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis methampetamine dan lelaki itu dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anasuha Atiqah Mat Saidi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nursyafiqah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai Johor selepas permohonan Timbalan Pendakwa Raya yang menyatakan berkemungkinan tertuduh ada masalah mental sebab berhalusinasi.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 Jun depan untuk mendapatkan laporan bedah siasat, laporan kimia asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan psikiatri.
Kosmo! Ahad lalu melaporkan seorang anak yang baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah bertindak mencekik sebelum menetak ibunya menggunakan sebilah parang dalam kejadian tragis di sebuah rumah di Kampung Pesagi pada Khamis minggu lalu.
Kejadian kejam itu menyebabkan Meriani maut dengan mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah selain ada kesan tetakan pada dahi, mulut, perut dan tangan kanan.
Mangsa tinggal bersama suspek yang merupakan anak sulungnya dan seorang cucu lelakinya berusia 10 tahun di rumah berkenaan, namun kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan apabila sempat menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah.
Tindakan kejam Mohd. Fairul menyebabkan adik-beradiknya mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap suspek sekali pun individu itu adalah abang kandung mereka sendiri.
Malah, mereka juga tidak mahu suspek balik ke kampung itu lagi dan enggan melihat wajahnya. -K! ONLINE.