GEORGE TOWN – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini sedia untuk beroperasi selepas kerja-kerja pengubahsuaian bangunan sedia ada siap sepenuhnya.
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Mohd. Bazid Abd. Kahar dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah selesai menjalankan skop kerja di tingkat dua dan tiga bangunan itu pada 15 Julai lalu.
Menurutnya, tarikh untuk UTC berkenaan mula beroperasi akan diumumkan kelak selepas pihaknya memperoleh kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Dijangkakan sebanyak 15 agensi seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan beroperasi di UTC pertama di Pulau Pinang itu. – K! ONLINE