fbpx

Warga emas, wanita hamil ditahan jual rokok seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mispani (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam serbuan Op Kontraban dijalankan di lima premis sekitar Jasin, Melaka, semalam.

JASIN – Lima peniaga kedai runcit termasuk dua warga emas dan seorang wanita hamil ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual rokok seludup dalam Op Kontraban yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 10 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia 30 hingga 80 tahun.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, hasil maklumat awam, serbuan telah dilakukan secara serentak di lima buah premis kira-kira pukul 10 pagi oleh sepasukan sembilan anggota.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi telah menemukan pelbagai jenis rokok tidak bercukai dan kesemuanya dirampas dengan nilai keseluruhan RM6,800.

“Hasil siasatan awal, kita percaya kesemua mereka termasuk dua warga emas dan seorang wanita hamil telah lama menjual rokok seludup ini yang didapatkan daripada dalang atau pembekal.

“Kita sedang mengesan individu lain yang terlibat dalam kegiatan rokok seludup ini. Para peniaga suka menjual rokok ini kerana ia laku disebabkan harganya jauh lebih murah berbanding pasaran iaitu RM6.50 sekotak,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua yang ditahan bagaiamanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Seorang lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 50 tahun direman mulai hari ini sehingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Tiga lagi individu dibenarkan diikat jamin memandangkan faktor usia iaitu dua lelaki warga emas masing-masing berusia 79 dan 80 tahun, manakala seorang lagi wanita hamil berusia 35 tahun,” katanya.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI