PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan telah memperolehi kelulusan Kementerian Kewangan untuk mengambil sejumlah 8,302 petugas kesihatan kontrak sehingga akhir bulan April lalu.
Ia meliputi 4,472 jururawat, 2,249 penolong pegawai perubatan (2,249), pegawai sains (82),
juruteknologi makmal perubatan (666), penolong pegawai persekitaran (340) dan juru x-ray diagnostik (293).
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah tersebut termasuk kelulusan oleh Kementerian Kewangan bagi menyambung perkhidmatan sejumlah 200 orang kaunselor yang kini menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan kesihatan mental kepada pelanggan di klinik kesihatan di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan juga telah bersetuju meluluskan pelantikan semula sejumlah 3,622 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi untuk tempoh satu tahun lagi dengan kos emolumen sebanyak RM 289.69 juta
“Pembaharuan kontrak akan dimaklumkan kepada pegawai sebelum kontrak sedia ada berakhir.
“Pelaksanaan inisiatif ini adalah bagi mengoptimumkan penggunaan sumber manusia khususnya dalam usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini. -K! ONLINE