Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Seramai 40,000 pemegang akaun Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) di tiga daerah negeri ini akan mengalami gangguan bekalan selama dua hari bermula 5 Ogos.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan SAMB hari ini, langkah itu diambil bagi membolehkan kerja-kerja membaiki injap bersaiz 700 millimeter di loji air Daf 1.
“Disebabkan itu, pengepaman air terawat ke Kolam Senandong B3, Kolam Berangan dan Kolam Senandong A akan dihentikan sementara pada 5 hingga 6 Ogos ini.
“Pihak SAMB menjangkakan kerja-kerja pembaikan ini akan menyebabkan gangguan bekalan air selama 24 jam bermula pukul 9 malam,” kata kenyataaan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, gangguan itu melibatkan sebanyak 84 lokasi masing-masing 32 di Melaka Tengah, 17 di Alor Gajah dan 35 di Jasin.
SAMB turut memuatnaik notis di laman sosial Facebook SAMB untuk rujukan penduduk di negeri ini.
“Pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air mencukupi sepanjang kerja-kerja pembaikan ini dibuat.
“Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami yang beroperasi 24 jam di talian 15800 atau WhatsApp di 013 – 751 5800,” katanya. – K! ONLINE