fbpx

Remaja 16 tahun edar dadah di Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman (dua dari kiri) bersama pegawai JSJN IPD Jerantut menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah, air ketum dan rokok seludup dalam Ops Tapis Khas di IPD Jerantut di Jerantut hari ini.

JERANTUT – Seorang remaja berusia 16 tahun antara sembilan individu yang ditahan dalam Operasi Tapis Khas yang dilakukan pihak polis di Felda Sungai Tekam Utara dan Felda Lepar Utara di sini kelmarin.

Dalam operasi melibatkan empat serbuan di kawasan tanah rancangan Felda itu polis berjaya merampas dadah bernilai RM26,107 yang terdiri daripada dadah jenis syabu seberat 70.13 gram, heroin (200.2 gram), ganja (3.81 gram), air ketum (23 liter) dan daun ketum (1.63 kilogram).

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Khamis berkata, remaja berusia 16 tahun berkenaan yang turut positif dadah jenis syabu dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan Felda sejak sebulan lalu.

“Remaja berusia 16 tahun berkenaan ditahan di belakang rumah didiami suspek dan polis turut menemukan dadah jenis heroin seberat 161.2 gram serta syabu seberat 11 gram bernilai RM6,480.

“Penglibatan remaja ini sebagai pengedar serta penagih dadah sewajarnya dipandang serius oleh semua pihak yang menunjukkan kegiatan tersebut semakin bermaharajalela di kawasan Felda daerah ini khususnya membabitkan golongan bawah umur,”katanya dalam sidang akhbar di IPD Jerantut di sini, hari ini.

Menurut Azman Mat, remaja yang tidak bersekolah itu ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kemungkinan didakwa di bawah Akta Juvana memandangkan masih di bawah umur.

Dalam pada itu beliau berkata, dalam satu serbuan berasingan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 6.86 gram selepas menahan seorang lelaki berusia 44 tahun di tepi Jalan Felda Kota Gelanggi di sini.

Katanya, penahanan lelaki berkenaan membawa tangkapan ke atas dua lagi lelaki berusia 25 dan 46 tahun di sebuah stesen minyak di Felda Sungai Tekam Utara serta rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM6,350.

“Ketiga-tiga lelaki berkenaan yang dipercayai menjadi pengedar dadah sejak 2020 ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang sekiranya sabit kesalahan membawa hukuman mati mandatori dan siasatan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah akta yang sama dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Dalam satu serbuan berasingan di Felda Lepar Utara di sini, polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 30 tahun hingga 62 tahun serta merampas dadah syabu seberat 0.13 gram, ganja (2.81 gram), daun ketum (1.63 kilogram), air ketum (23 liter) dan rokok seludup (32 kotak),” ujarnya.

Sementara itu, Azman berkata, polis akan terus menggiatkan operasi berdasarkan maklumat diperoleh terutamanya kawasan Felda yang sudah lama menjadi sarang pengedaran dan penagihan dadah.

“Kes penangkapan remaja berusia 16 di Felda Tekam Utara semalam membuktikan kegiatan ini semakin berleluasa dan dikhuatiri golongan bawah umur sudah lama berjinak dengan najis dadah,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI