NEW YORK – Pengasas Microsoft, Bill Gates dan isteri , Melinda mengumumkan akan bercerai dan dalam proses mengakhiri perkahwinan selama 27 tahun, lapor agensi berita AFP semalam.
Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama pasangan tersebut menerusi laman Twitter. Gates dan Melinda dianggarkan mempunyai kekayaan bersama mencecah AS$130 bilion (RM540 bilion).
“Selepas banyak memikirkan dan berusaha menjayakan hubungan ini, kami telah membuat keputusan untuk menamatkan perkahwinan kami,” demikian menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga mengatakan mereka akan meneruskan kerjasama di Yayasan Bill & Melinda Gates iaitu badan amal gergasi yang membiayai program kesihatan global, kesaksamaan gender, pendidikan dan pelbagai kegiatan amal lain.
“Kami terus berkongsi kepercayaan dalam misi itu dan akan terus bekerja bersama di yayasan itu namun kami tidak lagi boleh bersama sebagai pasangan dalam fasa kehidupan akan datang,” tulis kenyataan itu.
Pengumuman itu dibuat dua tahun selepas perceraian pengasas Amazon, Jeff Bezos, salah satu orang terkaya di dunia dengan isterinya, MacKenzie.
Gates,65, meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft pada 2008 dan hanya memegang gelaran pengasas dan penasihat teknologi syarikat tersebut.
Melinda Gates, 56, berkahwin dengan suaminya pada tahun 1994 ketika bekerja di sebuah firma teknologi dan mempunyai tiga orang anak bersama. – AFP