PETALING JAYA – Pasukan berstatus feeder, Selangor 2 mencipta kejutan selepas melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium MB Petaling Jaya sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Michael Feichtenbeiner mempamerkan aksi bertenaga sejurus sepak mula dengan meraih gol seawal minit ke-6 hasil ledakan Harith Haiqal Adam Afkar.
Skuad muda Gergasi Merah terus garang apabila berjaya meraih gol kedua menerusi jaringan Muhd. Fazrul Fahriz Zeky pada minit ke-39 sebelum penyerang import sensasi, George Attram menyempurnakan sepakan penalti sebelum tamat babak pertama untul menjadikan kedudukan 3-0.
Bersambung pada babak kedua, skuad The Red Warriors yang dibimbing oleh Marco Ragini cuba untuk memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol saguhati hasil sepakan Jack Hindle pada minit ke-69.
Usaha Kelantan FC untuk terus merapatkan jurang gol tidak kesampaian apabila keputusan 3-1 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor 2 kini berada di kedudukan ke-5 Liga Premier dengan 15 mata manakala Kelantan FC kekal dengan 14 mata untuk menduduki tangga ke-7. – K! ONLINE